16 March 2009
PENEMUAN TERBARU DI BC
MyMetro » Ekspresi - Cabaran Bukit Cermin
myMetro » Ekspresi
Cabaran Bukit Cermin
Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my
JIKA keupayaan dilihat sebagai ukuran, cabaran dilalui 114 peserta basikal gunung (mountain bike) ketika menghadapi cabaran Bukit Cermin ‘Downhill’ Challenge (BCDC) 2009 di Putra Height, Subang Jaya, baru-baru ini, sungguh mengagumkan dan mampu mencuri perhatian penggemar sukan ekstrem ini.
Mana tidaknya, peserta terpaksa merentasi laluan sejauh 1.5 kilometer (km) yang penuh halangan kerana keadaannya yang sempit, berair dan berbatu mampu mengundang pelbagai bahaya.
Sekalipun hanya dikategorikan sebagai cabaran tahap pertengahan (intermediate), ia memberi pengalaman berharga buat peserta dalam melengkapkan diri sebagai pelumba basikal lasak yang berkebolehan.
Oleh itu, tidak hairan apabila BCDC yang masuk tahun ketiga ini bukan hanya membabitkan peserta dari seluruh negara, malah turut menarik perhatian peserta dari negara jiran, Singapura.
Peserta dan Juara Kategori Terbuka, Mohammad Aim Mohammad, 18, dari Pahang, berkata walaupun pernah mengikuti perlumbaan membabitkan sukan basikal gunung sebelum ini, cabaran BCDC lebih hebat kerana faktor jarak dan tahap kesukarannya.
“Bukan mudah menempuh jarak jauh melebihi satu km. Ia memerlukan kekuatan fizikal dan kebijaksanaan individu mengawal basikal ketika melalui laluan sukar menuruni bukit. Saya perlu cepat bertindak bagi mengelak kemalangan.
“Apapun, pengalaman menyertai BCDC kali ini sangat bermakna kerana ia benar-benar menguji kebolehan saya dalam sukan ekstrem ini,” katanya.
Pelajar, Mohd Ashraf Rijaluddin, 17, dari Johor Bahru, berkata individu yang terbabit dalam sukan ini perlu memiliki kemahiran tinggi untuk menghadapi cabaran berbasikal menuruni bukit atau ‘downhill’.
“Ia lebih sukar berbanding bermain ‘cross country’ (merentas desa), ‘free ride’ (kayuhan bebas), ‘off road’ dan ‘road bike.’ Selain perlu mahir mengawal basikal, pengetahuan mengenai jenis tayar dan suspensi basikal juga penting kepada seseorang pelumba.
“Ini pengalaman pertama saya menyertai BCDC. Ia memang menyeronokkan, malah menjadi pengalaman berharga buat saya yang masih baru dalam sukan ini,” katanya.
Sedikit mengenai BCDC, empat kategori dipertandingkan mengikut tahap dan kebolehan peserta, iaitu kategori Junior, HardTail, Master dan Terbuka.
Ia dianjurkan kumpulan basikal gunung, Ride More dengan kerjasama Goodyear, Tat Seng Bike Centre, Huan Schen, Paddle Gear, Bikers Extreme dan Element.
Pengurus penganjur, Khaironnisa Abdul Malik, berkata BCDC kali ini turut dilengkapi dengan teknologi baru bagi pengiraan masa setiap peserta.
“Sebelum ini kami hanya menggunakan cara manual. Kali ini kami menggunakan Sistem Masa Digital, jenama Tag Heuer. Ia lebih tepat kerana berfungsi secara automatik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penganjur, Wan Azarudin Wan Mahmud, berkata pihaknya akan memantapkan lagi cabaran BCDC pada tahun akan datang.
“Kami akan cuba tampilkan kelainan dan memilih laluan lebih mencabar buat peserta. Selain itu, kami ingin menarik lebih ramai peserta luar negara menyertai BCDC pada masa akan datang,” katanya.
Profil BCDC race 09
> Jarak perlumbaan sejauh 1.5 km dan laluan sukar yang sempit, berbatu dan licin.
> Perlumbaan membabitkan empat kategori iaitu Junior, HardTail, Master dan Open.
> Menggunakan Sistem Masa Digital yang canggih, jenama Tag Heuer.
> Maklumat mengenai sukan basikal gunung dan ekstrem, layari
http://www.bcriders.blogspot.com/.
atau
http://forum.freeridemalaysia.com.my/forum_frm/index.php